
MADRID, 25 Julai – Krisis kebakaran hutan di Sepanyol semakin meruncing selepas dua kebakaran besar bergabung menjadi satu nyalaan raksasa berhampiran ibu negara.
- 63,000 penduduk dipindahkan atau diarahkan tinggal dalam rumah akibat kebakaran.
- Tiupan angin yang tidak menentu dan semakin kencang mengancam usaha pemadaman.
- Pasukan bomba tidak mampu membendung kebakaran sendirian kerana api berada pada tahap memuncak.
Bencana kebakaran di kawasan luar bandar yang kering-kontang itu telah memaksa 63,000 penduduk berpindah dari kediaman masing-masing atau diarahkan kekal di dalam rumah.
Delegasi kerajaan pusat di Madrid, Francisco Martin, memberitahu pemberita lewat Jumaat bahawa penurunan suhu memberi peluang keemasan untuk meredakan kebakaran.
“Suhu telah menurun, angin reda dan kelembapan relatif meningkat,” jelas beliau mengenai keadaan cuaca yang membantu operasi.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa tiupan angin tidak menentu pada sabtu dengan angin diramalkan bertiup lebih kencang serta tidak menentu sekali gus mengancam usaha pemadaman api.
Sebelum itu, ketua pengurusan kecemasan kerajaan wilayah Madrid, Carlos Novillo, memaklumkan bahawa kebakaran berada pada tahap memuncak dan di luar kemampuan pasukan bomba untuk membendungnya secara bersendirian.
Dua kebakaran berasingan turut dilaporkan bergabung pada Jumaat menjadi satu nyalaan besar, yang hampir bercantum pula dengan satu lagi kebakaran berhampiran Avila di wilayah jiran, Castilla y Leon.
Pihak berkuasa Sepanyol turut menyenaraikan 10 perkampungan di wilayah Madrid yang telah dikosongkan, selain tiga kawasan yang menuntut penduduknya kekal berada di kediaman masing-masing.
Kerajaan wilayah Madrid turut mengesahkan lebih 2,000 individu kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan kecemasan.
Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska, mendedahkan bahawa terdapat sembilan lagi kebakaran aktif di lokasi berbeza di seluruh Sepanyol.
Susulan krisis berkenaan, Perdana Menteri Pedro Sanchez dijadualkan menghadiri mesyuarat perancangan kecemasan pada pagi Sabtu di Cenicientos, sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah zon kebakaran, sebelum mengadakan sidang media sejurus selepas itu.
Bencana berkenaan disifatkan sebagai kebakaran terburuk dalam sejarah Madrid.-AFP