
RAMALLAH, 25 Julai – Penduduk Palestin di kampung Tell di Tebing Barat yang diduduki pada hari Sabtu selamat mengebumikan empat lelaki yang terbunuh dalam pertempuran dengan peneroka haram Israel di kampung itu pada Jumaat, menurut pegawai tempatan.
“Keluarga kepada empat mangsa itu mengadakan pengebumian bersama awal pagi Sabtu, sekitar 1:00 pagi (waktu tempatan).
Namun tentera Israel mengehadkan kehadiran dan hanya kira-kira 30 orang dibenarkan berada di situ,” kata Ketua Majlis Kampung Tell, Walid Zidan, kepada AFP.
Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel telah meningkat sejak perang Gaza bermula susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Konflik yang bermula pada Jumaat itu menyaksikan kira-kira 20 peneroka haram Israel dari sebuah penempatan berhampiran memasuki kampung itu dan bertempur dengan penduduk Tell yang mempertahankan harta benda mereka, kata Zidan kepada AFP.
Seorang penduduk Palestin didakwa merampas senjata seorang peneroka dan menembak mati seorang peneroka.
Kejadian itu menyebabkan pasukan tindak balas kecemasan Israel dari penempatan berhampiran bergegas ke lokasi kejadian dan menyebabkan pertempuran yang mengorbankan empat rakyat Palestin serta seorang peneroka haram Israel, menurut tentera Israel.
Insiden itu menyebabkan tentera Israel menutup pintu masuk dan sekatan jalan raya di seluruh Tebing Barat yang menyukarkan pergerakan penduduk, menurut wartawan AFP.
Insiden berkenaan turut menyebabkan 51 penduduk kampung berkenaan ditahan tentera Israel untuk tujuan soal siasat.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak tahun 1967.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah penempatan Israel di wilayah Palestin itu telah meningkat dengan ketara.
Menurut kiraan AFP berdasarkan data Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,094 rakyat Palestin, termasuk pejuang bersenjata dan orang awam, telah terbunuh akibat tindakan tentera atau peneroka Israel dalam tempoh yang sama. – AFP.