
MORONI, 25 Julai – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Sabtu memasukkan enam Medina ( kota lama) berusia ratusan tahun di Comoros ke dalam Senarai Warisan Dunia.
- Medina berusia hingga abad ke-12, menempatkan istana, masjid, dataran dan lorong sempit, tetap didiami walaupun banyak bangunan uzur.
- Pengiktirafan dilihat sebagai permulaan usaha pemuliharaan, bukan penamat, kata Menteri Kebudayaan Said Mohamed Ali Said.
- Warisan rapuh dan beberapa lokasi berdepan ancaman serius, namun pengiktirafan membuka peluang pemuliharaan dan pembangunan.
- Medina berperanan sebagai persimpangan perdagangan maritim dan pusat pertukaran ilmu; Moroni, Itsandra, Iconi berhimpun ciri sejarah dan seni bina.
Kota lama yang menempatkan istana, masjid, dataran awam dan lorong-lorong sempit, sebahagiannya bermula sejak abad ke-12, masih didiami hingga kini meskipun banyak bangunannya berada dalam keadaan uzur.
Menteri Kebudayaan Comoros, Said Mohamed Ali Said, berkata pengiktirafan itu bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada usaha lebih besar untuk memulihara warisan berkenaan .
Beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai detik yang membanggakan negara ketika menghadiri mesyuarat UNESCO di Busan, Korea Selatan.
Enam medina (kota lama) itu merupakan tapak pertama dari kepulauan Comoros yang disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO, yang merangkumi lebih 1,200 lokasi di seluruh dunia yang diiktiraf mempunyai nilai sejagat yang luar biasa dan wajar dipelihara.
Menurut Said, medina berkenaan bukan sekadar tapak bersejarah, malah masih menjadi bandar yang hidup, dihuni oleh penduduk melakukan aktiviti seperti beribadat, berniaga dan meraikan pelbagai acara sebagaimana dilakukan oleh nenek moyang mereka.
Beliau turut mengakui warisan itu berada dalam keadaan rapuh dan di beberapa lokasi berdepan ancaman serius.
Namun pengiktirafan UNESCO membuka peluang baharu untuk usaha pemeliharaan dan pembangunan.
Comoros, sebuah negara kepulauan Islam yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai timur Afrika dan mempunyai sekitar 870,000 penduduk, sejak sekian lama menjadi persimpangan perdagangan maritim antara Afrika Timur, Asia Barat dan Madagascar.
Presiden Comoros, Azali Assoumani, berkata kepulauan itu telah lama berperanan sebagai pusat pertukaran perdagangan, ilmu pengetahuan dan pentadbiran yang maju.
Empat daripada medina yang diiktiraf terletak di pulau utama Grande Comore, manakala dua lagi berada di Pulau Anjouan.
Medina Moroni yang dibina pada abad ke-14 menempatkan Masjid Jumaat yang terkenal dengan menara hijau berhampiran pelabuhan dhow, selain lorong berbatu dan rumah bertingkat yang dihiasi pintu kayu berukir.
Medina Itsandra pula dianggap sebagai antara pusat awal tamadun Swahili, manakala Medina Iconi yang wujud sejak abad ke-12 menempatkan makam Putera Said Ibrahim, anak kepada Sultan terakhir Grande Comore, Said Ali.
Ketua Pengarah Pejabat Promosi Warisan Comoros, Ania Mohamed Issa, berkata pembangunan bandar yang tidak terkawal serta proses pemodenan telah mengubah sebahagian besar ciri asal medina berkenaan.
Sementara itu, wakil Persatuan Kebudayaan Medina Wiratha, Faniya Abbas, berkata status Warisan Dunia dijangka merancakkan pembangunan pelancongan berasaskan budaya, sejarah dan seni bina, di samping memperkukuh usaha pemeliharaan warisan. – AFP