Banjir Tawau: Kerajaan Negeri arah gerak aset percepat operasi menyelamat

Foto RTM

KOTA KINABALU, 25 Julai – Kerajaan Negeri Sabah memandang serius situasi banjir yang melanda Tawau dan kawasan sekitarnya ketika ini, sekali gus mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggerakkan segala aset serta tenaga kerja bagi mempercepat operasi menyelamat penduduk terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan kerajaan negeri memastikan keselamatan nyawa dan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.
  • Penduduk diminta berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah jika diarahkan demi keselamatan.
  • PPS di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau diaktifkan; proses pendaftaran mangsa sedang berjalan.
  • Bomba selamatkan 11 mangsa termasuk dua kanak-kanak di Kampung Terasing Batu 17; semua dipindahkan ke kawasan selamat menggunakan bot.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keutamaan kerajaan negeri adalah untuk memastikan keselamatan nyawa rakyat, di samping semua mangsa menerima bantuan dan keperluan asas dengan segera.

“Saya ingin merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa terjejas banjir di Tawau serta beberapa kawasan sekitarnya.

“Saya telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggerakkan segala aset dan tenaga bagi mempercepat operasi menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Datuk Seri Hajiji turut mengingatkan penduduk di kawasan terjejas dan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.

“Semoga keadaan kembali pulih dengan segera. Saya juga mendoakan agar semua mangsa dipermudahkan urusan, dilindungi daripada sebarang musibah dan semoga seluruh anggota pasukan penyelamat diberikan kekuatan serta keselamatan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan satu PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau bagi menempatkan mangsa terjejas banjir.

PPS itu diaktifkan pada 11 pagi tadi dan pada ketika ini proses pendaftaran penduduk terlibat sedang berjalan.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata 11 mangsa termasuk dua kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir di Kampung Terasing Batu 17 diselamatkan pasukan Bomba.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke kawasan selamat menggunakan bot,” katanya.

Beliau berkata pasukan Bomba Tawau juga kini ke lokasi banjir di Sekolah Kebangsaan Kuala Apas Balung bagi tujuan memantau dan penyelamatan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau Mohd Shoffian Mohd Said mengisytiharkan bencana banjir di daerah itu pada 8.30 pagi selepas menerima laporan dan maklumat di lapangan berkaitan situasi berkenaan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.