
BUTTERWORTH, 24 Julai – Generasi muda digesa menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai agama, akhlak dan budaya.
- Seimbangkan kemajuan teknologi dengan pembentukan sahsiah dan jati diri, jangan hanya fokus pada pencapaian material.
- Sediakan pendidikan terbaik serta sokongan untuk kuasai teknologi digital dan sains demi daya saing negara.
- Pegang teguh nilai agama, budaya serta prinsip moral dan etika ketika menggapai kemajuan supaya tetap berakar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan negara terus memiliki modal insan berdaya saing di peringkat global.
Jelas beliau, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah dan jati diri supaya pembangunan negara tidak hanya berteraskan pencapaian material.
“Kita perlu memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik dan diberikan sokongan untuk menguasai teknologi baharu, sama ada AI, digital atau bidang lain.
“Namun, mereka mesti terus berpegang pada realiti budaya, agama serta nilai moral dan etika. Ketika kita menggapai kemajuan teknologi, digital, AI dan sains, jangan lupa bahawa kita mesti tetap mengakar ke bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rangka Kerja Transformasi Masyarakat India Muslim (IMTF) 2030 di Pusat Konvensyen PICCA di sini.