
KUALA LUMPUR, 24 Julai -Sebarang serangan ke atas kapal tangki atau prasarana tenaga di Asia Barat berpotensi mengekalkan harga minyak mentah Brent melebihi US$100 setong, menurut OCBC Group Research.
- Serangan yang kembali memuncak di Asia Barat mendorong lonjakan harga minyak global.
- OCBC menilai unjuran harga seimbang tetapi cenderung meningkat; diplomasi dan jaminan laluan aman boleh menurunkan harga.
- Harga produk penapisan seperti gasolin dan diesel melonjak lebih ketara, membebankan pengguna dan meningkatkan inflasi.
- Negara GCC tingkatkan prasarana alternatif (ADCOP, Saluran Timur-Barat) sementara Kuwait, Qatar, Bahrain kekurangan alternatif, menggantung operasi pelabuhan.
Dalam laporan petunjuk komoditinya, OCBC Research memaklumkan serangan yang kembali memuncak di rantau itu telah mendorong lonjakan harga minyak global, termasuk Brent yang menguji semula nilai ambang harga US$100 setong selepas mencecah seketika paras sebelum konflik sekitar US$70 setong.
“Risiko unjuran kami terhadap harga itu adalah seimbang walaupun lebih cenderung untuk meningkat. Lonjakan aliran minyak sebelum serangan terbaharu ini turut menghidupkan semula naratif lebihan bekalan untuk seketika.
“Ini juga menunjukkan harga susut cepat sekiranya aspek diplomasi itu dapat dihidupkan semula, sekali gus memberi jaminan laluan yang selamat menerusi Selat Hormuz.
“Bagaimanapun, sebarang serangan lanjut ke atas prasarana Asia Barat boleh menyebabkan harga Brent kekal melebihi paras US$100 setong sebagaimana dilihat pada fasa paling memuncak konflik itu,” menurutnya.
OCBC Research juga menyifatkan harga produk bertapis, terutama gasolin dan diesel, telah melonjak ketara berbanding harga minyak mentah.
“Keadaan ini lebih memberi kesan langsung kepada pengguna dan inflasi. Pengurangan aliran bekalan melalui Selat Hormuz selain gangguan di kilang penapisan minyak di Rusia, telah menjadikan bekalan diesel lebih terhad serta meningkatkan margin penapisan,” menurutnya.
Berikutan itu, OCBC Research menjangkakan negara-negara Kerjasama Teluk (GCC) mengutamakan prasarana tenaga tambahan menjadi alternatif kepada Selat Hormuz, mengembangkan projek-projek sedia ada seperti Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi dan Saluran Paip Minyak Mentah Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (ADCOP).
“Laporan baru-baru ini menyatakan saluran kedua ADCOP berkemungkinan besar memulakan operasi menjelang 2027 manakala Arab Saudi pula telah memulakan perbincangan awal mengenai usaha mengembangkan lagi kapasiti Saluran Paip Timur-Barat.
“Laluan alternatif sedia ada misalnya telah membantu Arab Saudi dan UAE mengalihkan sebahagian daripada eksport apabila Selat Hormuz ditutup,”menurutnya.
OCBC Research menyatakan Kuwait, Qatar dan Bahrain sebaliknya tidak mempunyai alternatif sesuai dan terpaksa bertindak menggantung operasi pelabuhan masing-masing susulan penutupan Selat Hormuz. – BERNAMA