Harga minyak mentah boleh cecah AS$120 setong jika konflik AS-Iran berlarutan

Sebuah kapal kargo berlabuh di Pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu, ketika konflik AS-Israel dengan Iran terus menjejaskan trafik perkapalan di Selat Hormuz./ REUTERS

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Harga minyak mentah global berpotensi melonjak sehingga AS$120 setong sekiranya konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat berlarutan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi, menurut firma risikan pasaran tenaga, Kpler.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran minyak dijangka menghadapi kekangan bekalan dalam satu hingga dua minggu, meningkatkan risiko peralihan ke defisit.
  • Rantaian bekalan global sangat terdedah; harga bergantung pada perkembangan konflik dan gangguan laluan melalui Selat Hormuz serta ancaman Houthi.
  • Harga meningkat lebih 1.5 peratus selepas serangan AS dan tindakan Houthi; Brent naik dua peratus, WTI naik 1.7 peratus.
  • Transit harian di Selat Bab el-Mandeb merosot daripada kira-kira 50 kapal kepada kurang daripada 10; aliran minyak turun hampir sifar minggu ini.

Kpler berkata, pasaran minyak dijangka mula berdepan kekangan bekalan dalam tempoh tersebut, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap peralihan daripada keadaan lebihan bekalan yang sederhana kepada defisit bekalan.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent didagangkan melebihi AS$96 setong.

“Rantaian bekalan minyak global sangat terdedah kepada risiko. Prospek harga minyak akan bergantung kepada bagaimana konflik itu berkembang dan sejauh mana laluan trafik melalui Selat Hormuz terjejas, serta sama ada pasukan Houthi akan meneruskan ancaman menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Arab Saudi dan melaksanakan sekatan laut di Laut Merah,” menurut Kpler.

Kebimbangan terhadap gangguan bekalan itu turut mendorong harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus pada Khamis ke paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu selepas siri serangan AS ke atas Iran dan tindakan kumpulan Houthi di Yaman menyasarkan kapal tangki minyak di Laut Merah.

Minyak mentah Brent naik dua peratus kepada AS$96 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 1.7 peratus kepada AS$88.27 setong.

Dalam perkembangan sama, pasaran minyak terus memantau situasi di laluan perkapalan utama apabila jumlah transit harian di Selat Bab el-Mandeb merosot kepada kurang daripada 10 kapal sehari berbanding kira-kira 50 kapal sebelum tercetusnya serangan terbaharu.

Aliran minyak mentah melalui laluan itu turut menyusut daripada lebih lapan juta tong sehari pada awal Julai kepada sekitar tiga juta tong sehari minggu lalu, sebelum menghampiri paras sifar minggu ini.

Selat Bab el-Mandeb ialah laluan maritim strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden berhampiran pantai barat daya Yaman.

Susulan gangguan di Selat Hormuz, laluan itu kini menjadi antara koridor paling penting bagi penghantaran minyak dan perdagangan global.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.