
KULIM, 22 Julai – Pemantauan di sekolah tidak boleh hanya tertumpu kepada kes buli, malah merangkumi semua insiden yang mengancam keselamatan pelajar.
- Setiap insiden keselamatan perlu diberi perhatian serius dan ditangani sewajarnya supaya sekolah kekal sebagai tempat paling selamat menimba ilmu.
- Keselamatan merangkumi pelbagai insiden, termasuk jatuhnya pelajar selain kes buli.
- Insiden di Kuala Nerang sedang disiasat polis sebagai contoh perlunya siasatan menyeluruh.
- Semua kes keselamatan sekolah menjadi tanggungjawab pasukan polis, sama ada kes buli atau insiden lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap insiden tersebut perlu diberi perhatian serius dan ditangani sewajarnya kerana sekolah mesti kekal menjadi tempat paling selamat untuk menimba ilmu.
“Bukan sahaja isu keselamatan berkaitan buli, malah turut merangkumi beberapa insiden lain, seperti pelajar terjatuh di sekolah. Antaranya ialah insiden di Kuala Nerang baru-baru ini yang masih dalam siasatan polis.
“Sama ada insiden pelajar terjatuh atau kes buli, semuanya berada dalam skop keselamatan sekolah dan menjadi tanggungjawab pasukan polis,” katanya.
Beliau ditemui pada ketika melawat lokasi kebakaran membabitkan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, di sini.
Bantuan segera diberi kepada 116 pelajar terjejas dengan setiap seorang menerima RM500 bagi meringankan beban mereka mendapatkan semula kelengkapan sekolah yang musnah dalam insiden tersebut.
Kerajaan turut meluluskan peruntukan segera RM200,000 bagi pembinaan asrama sementara.