Warga emas hilang pernah alami kejadian sama dua tahun lalu

Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut terlibat dalam operasi SAR yang memasuki hari kedua

KEMAMAN, 22 Julai– Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh pada Ahad lalu, pernah melalui kejadian sama kira-kira dua tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR diperluas hari kedua dalam lingkungan 2,000 meter persegi, tumpuan berdasarkan maklumat daripada seorang penternak ayam.
  • Pencarian melibatkan 20 anggota bomba termasuk Unit Anjing Pengesan K9, dua polis, dua bomba sukarela, serta 13 orang awam.
  • Laporan polis dibuat pada pukul 11 pagi Isnin dan keluarga berharap mangsa ditemui selamat kerana faktor usia dan kesihatan terjejas.

Adik mangsa, Norziah Besar, 60, berkata, abangnya, Abdullah Besar, 70, yang mengalami masalah mental ketika itu ditemukan selamat selepas seminggu hilang.

“Dua tahun lepas dia ada juga tak balik, tapi ada orang jumpa dan hantar balik pada waktu Maghrib.

Lepas itu, kali kedua pula dia hilang selama seminggu sebelum ditemukan,” katanya.

Menurut Norziah, abangnya merupakan bekas anggota Polis Hutan yang menamatkan perkhidmatan pada usia 30 tahun selepas mengalami masalah mental.

Katanya, Abdullah keluar bersarapan di sebuah kedai makan kira-kira 200 meter dari rumah pada pukul 7 pagi Ahad lalu sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Menurut beliau, laporan polis dibuat pada pukul 11 pagi Isnin sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Norziah berharap abangnya ditemukan dalam keadaan selamat memandangkan faktor usia serta keadaan kesihatannya yang kurang baik.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafiezul Mohamad berkata, kawasan pencarian operasi SAR diperluas.

“Hari kedua ini kita memperluaskan kawasan pencarian dalam lingkungan 2,000 meter persegi.

Tumpuan ialah di lokasi berdasarkan maklumat terakhir daripada seorang penternak ayam yang melihat mangsa pada waktu malam,” katanya.

Pencarian melibatkan 20 anggota bomba termasuk Unit Anjing Pengesan (K9), dua anggota polis, dua anggota bomba sukarela serta 13 orang awam.

Sehingga pukul 6 petang, masih tiada sebarang petunjuk ditemukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.