
ALOR SETAR, 22 Julai – Seorang lelaki yang dipercayai melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sambil membawa isteri dan anaknya pada Mac lalu telah ditahan polis, di sini, hari ini.
- Menunggang motosikal buat aksi "wheelie" sambil membawa isteri dan anak perempuan, membahayakan keselamatan keluarga dan pengguna jalan raya.
- Rakaman 17 saat tular di Facebook mendedahkan kejadian yang berlaku pada 28 Mac semasa mereka dalam perjalanan makan malam.
- Suspek berusia 26 tahun ditahan bersama motosikal, tidak memiliki lesen sah; disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, perbuatan suspek dikesan menerusi rakaman video tular berdurasi 17 saat yang dimuat naik menerusi satu akaun Facebook.
“Rakaman itu sebenarnya memaparkan kejadian yang berlaku pada 28 Mac lalu ketika suspek yang berusia 26 tahun dalam perjalanan untuk makan malam bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika melalui Jalan Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar Alor Setar, suspek melakukan aksi mengangkat tayar hadapan motosikal atau “wheelie” sambil membawa isterinya berusia 25 tahun di bahagian belakang serta anak perempuan mereka di hadapan.
“Aksi berbahaya itu bukan sahaja mengancam keselamatan suspek dan ahli keluarganya, malah boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain,” tegas beliau.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang tadi bersama motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 12.41 tengah hari ini.
Semakan lanjut mendapati suspek yang bekerja sebagai operator kilang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.