Isu usir warga Israel: Malaysia tidak akan tolak ansur campur tangan asing

Foto BERNAMA

KUALA PILAH, 22 Julai – Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang campur tangan asing dalam urusan kedaulatannya, termasuk berkaitan hal ehwal imigresen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam kritikan lapan Ahli Kongres AS terhadap pendirian Malaysia berhubung Network School dan warga Israel.
  • Malaysia akan menyampaikan mesej jelas kepada Kedutaan AS supaya tidak mencampuri urusan dalaman termasuk isu imigresen.
  • Lapan Ahli Kongres menggesa pemeriksaan hubungan keselamatan dan ekonomi serta mempertimbangkan penggantungan pembiayaan IMET.
  • Siasatan terhadap 11 individu dipercayai mempunyai dwi kewarganegaraan berkaitan Network School sedang diperhalusi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan perkara itu susulan kritikan lapan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) terhadap pendirian Malaysia berhubung isu warga Israel yang dikaitkan dengan Network School di Forest City, Johor.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Malaysia ialah sebuah negara berdaulat serta mempunyai kuasa dan hak untuk mengusir mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

“Kita tidak akan berdiam diri terhadap kebiadaban lapan anggota Kongres ini dan sudah pasti kita akan menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS supaya jangan mencampuri urusan dalaman, termasuk isu imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS itu dilapor menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Mereka turut menggesa kerajaan AS menyemak hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia serta mempertimbangkan penggantungan pembiayaan di bawah program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET).

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata siasatan terhadap individu yang dikaitkan dengan Network School masih diteruskan.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan proses siasatan terhadap 11 individu yang dipercayai mempunyai dwi kewarganegaraan sedang diperhalusi,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar menegaskan kerajaan akan mengusir warga Israel yang didakwa mempunyai dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

Kerajaan Johor kemudiannya membatalkan lesen operasi Network School, sekali gus memaksa institusi itu menghentikan operasinya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.