116 pelajar terjejas kebakaran asrama terima bantuan segera kerajaan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan segera RM500 setiap seorang / BERNAMA

KULIM, 22 Julai– Seramai 116 pelajar yang terjejas kebakaran asrama Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah di sini, Isnin lalu menerima bantuan segera RM500 setiap seorang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan lulus peruntukan segera RM200,000 untuk pembinaan asrama sementara.
  • Perancangan pembinaan asrama baharu dibuat selepas siasatan punca kebakaran selesai.
  • JPN hantar van Program MEKAR untuk penggantian MyKad percuma; pejabat turut salurkan RM10,000 kepada PIBG.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban mereka mendapatkan semula kelengkapan sekolah yang musnah dalam insiden tersebut.

Jelas beliau kerajaan turut meluluskan peruntukan segera RM200,000 bagi pembinaan asrama sementara.

Katanya, perancangan pembinaan asrama baharu akan dibuat selepas siasatan berhubung punca kebakaran selesai.

“Kerajaan MADANI meletakkan keprihatinan pada tahap tertinggi apabila berlaku insiden seperti ini kerana ia melibatkan kemudahan anak-anak yang bersekolah.

Kita akan memanfaatkan peruntukan segera yang sedia ada bagi meringankan beban mereka, terutama dalam menyediakan semula kelengkapan sekolah dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kebakaran di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, di sini, petang tadi.

Menurut beliau, pejabatnya turut menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Bagi pelajar yang kehilangan MyKad, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan van Program MEKAR ke sekolah.

Proses penggantian dokumen pengenalan diri itu adalah percuma dan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit.

Tambah beliau, sebahagian pelajar turut diberikan pelepasan pulang ke rumah.

Langkah itu bagi memberi ruang kepada pihak sekolah menyusun semula penempatan di asrama yang masih selamat digunakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.