Komanwel 2026: Setiap aksi kumpulan ibarat ‘hidup mati’ buat Izzat Shameer

Izzat Shameer menganggap setiap perlawanan peringkat kumpulan ibarat aksi kalah mati. Foto/Bernama

GLASGOW, 22 Julai – Pemain boling padang singles lelaki negara Izzat Shameer Dzulkeple menganggap setiap perlawanan peringkat kumpulan ibarat aksi kalah mati pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual bermula dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Format baru saingan: hanya juara kumpulan layak ke pusingan seterusnya, bukannya dua pemain teratas seperti sebelum ini.
  • Format menuntut konsistensi sejak perlawanan pertama; sebarang kesilapan boleh menutup peluang mara ke separuh akhir.
  • Izzat datang lebih awal, sesuaikan waktu tidur dan main dua persahabatan; satu menang, satu kalah, membantu tingkatkan keyakinan.
  • Aleena dan pasangan anggap format beri kelebihan kerana pengalaman Terbuka Australia; mereka buru kemenangan untuk mara ke separuh akhir.

Izzat Shameer berkata ia susulan format baharu pertandingan yang menyaksikan hanya juara kumpulan layak ke pusingan seterusnya berbanding dua pemain teratas sebelum ini.

Menurutnya, format itu menuntut setiap pemain memberikan aksi terbaik sejak perlawanan pertama.

Sebarang kesilapan di lapangan mampu menutup peluangnya untuk meneruskan cabaran ke peringkat separuh akhir.

“Bagi saya, tahun ini saingan dalam kumpulan bukan lagi seperti biasa. Jadi kami perlu memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan. Saya menganggap saingan peringkat kumpulan kali ini sebagai perlawanan kalah mati untuk diri saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui sedikit gementar apabila menjadi atlet negara terawal memulakan saingan, namun yakin mampu mengharungi cabaran itu apabila bertemu lawan dari Kepulauan Falkland pada Khamis.

“Kami datang lebih awal kira-kira seminggu sebelum pertandingan. Dari segi penyesuaian, waktu tidur pun dah baik, kini rasa lebih selesa.

“Saya juga berpeluang mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pemain Scotland. Perlawanan pertama saya menang dan walaupun perlawanan kedua saya kalah tapi ia aksi yang bagus, untuk saya ini banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan saya,” ujarnya.

Sementara itu, pemain pairs wanita negara Aleena Ahmad Nawawi berkata format baharu memberi kelebihan kepadanya serta pasangan, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman untuk beraksi lebih cemerlang.

“Bagi saya, format baharu ini hanya mengambil juara kumpulan. Jadi, kami mempunyai sedikit kelebihan kerana baru pulang daripada Terbuka Australia yang turut menggunakan format sama.

“Mungkin pengalaman itu boleh kami gunakan di sini. Kami perlu mengekalkan prestasi dalam setiap perlawanan dan memburu kemenangan bagi memastikan dapat mara ke separuh akhir,” jelasnya.

Saingan pairs wanita dijadual bermula Jumaat.

Skuad boling padang negara menyasarkan dua pingat tanpa mengira warna pada edisi kali ini.-Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.