JPJ buka bidaan siri H, huruf tunggal terakhir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 September – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan istimewa (NPI) siri H, yang merupakan siri huruf tunggal terakhir bakal ditawarkan jabatan itu, bersempena sambutan Hari Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bidaan dibuka mulai Rabu hingga 20 September melalui aplikasi JPJeBid, nombor pilihan 1 hingga 9999.
  • Keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September.
  • Penggunaan huruf H bagi NPI berbeza dengan nombor pendaftaran teksi; contohnya HA untuk Perak.
  • JPJ tambah ciri JPJeBid untuk menawarkan semula nombor tamat tempoh jika tidak didaftarkan dalam 6 hingga 12 bulan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan siri berkenaan dibuka mulai Rabu hingga 20 September menerusi aplikasi JPJeBid, dengan pilihan nombor daripada 1 hingga 9999.

Menurutnya, keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September.

“Siri H ini merupakan sinonim kepada keharmonian negara kita bersempena sambutan Hari Malaysia. Kita menawarkan satu huruf tunggal yang terakhir di Malaysia yang akan ditawarkan oleh JPJ sebab selepas ini tidak ada lagi huruf tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Interaksi Media di ibu negara malam tadi.

Sehubungan itu, orang ramai disaran merebut peluang mendapatkan nombor pendaftaran siri H kerana JPJ tidak lagi akan menawarkan siri nombor pendaftaran menggunakan huruf tunggal selepas ini.

Aedy Fadly turut menjelaskan penggunaan huruf H bagi NPI siri itu berbeza daripada nombor pendaftaran teksi atau kenderaan pengangkutan awam.

Katanya, bagi teksi, huruf H akan diikuti huruf pendaftaran negeri, seperti HA bagi Perak yang menggunakan huruf A sebagai kod pendaftaran negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, JPJ bakal memperkenalkan ciri baharu dalam platform JPJeBid yang membolehkan nombor pendaftaran kenderaan yang tamat tempoh ditawarkan semula kepada orang ramai.

Menurut Datuk Aedy Fadly, ciri itu melibatkan nombor yang sebelum ini berjaya dibida atau dijual tetapi tidak didaftarkan pada mana-mana kenderaan dalam tempoh sah ditetapkan.

Tempoh sah pendaftaran adalah antara enam hingga 12 bulan, bergantung pada kelulusan.

Sekiranya gagal didaftarkan dalam tempoh berkenaan, nombor tersebut akan dibuka semula untuk bidaan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.