
MALE, 15 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Maldives malam ini bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya ke republik itu, dengan agenda memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Maldives.
- Ketibaan disambut Presiden Dr Mohamed Muizzu, turut diiringi Menteri Hal Ehwal Agama Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed dan pegawai kanan.
- Perdana Menteri diiringi Menteri Johari Abdul Ghani, Menteri Ramanan Ramakrishnan dan delegasi Malaysia.
- Sambutan rasmi termasuk pemberian sejambak bunga, penghormatan kawalan kehormatan dan persembahan kebudayaan pelajar.
- Jadual esok: Majlis Sambutan Rasmi, mesyuarat empat mata, mesyuarat delegasi, pertukaran MoU pertahanan dan hal ehwal Islam, serta sidang akhbar.
Beliau tiba pada 8.12 malam waktu tempatan, bersamaan 11.12 malam waktu Malaysia, menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, yang turut diiringi Menteri Hal Ehwal Agama Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed serta pegawai kanan kedua-dua negara.
Datuk Seri Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta delegasi Malaysia.
Ketibaan Perdana Menteri diserikan dengan pemberian sejambak bunga oleh seorang kanak-kanak sebagai tanda sambutan mesra sempena lawatan sulung beliau ke negara itu.
Datuk Seri Anwar kemudian menerima penghormatan kawalan kehormatan sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi sebelum diraikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar sekolah.
Presiden Dr Mohamed Muizzu kemudiannya mengiringi Datuk Seri Anwar ke Official Jetty.
Esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Sambutan Rasmi sebelum mengadakan mesyuarat empat mata bersama Presiden Dr Mohamed Muizzu, diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam selepas mesyuarat berkenaan.
Datuk Seri Anwar dan Dr Mohamed Muizzu turut dijadual mengadakan sidang akhbar bersama.
Dalam hubungan perdagangan, Maldives kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dengan jumlah perdagangan bernilai RM762.78 juta pada 2025.
Malaysia turut mencatatkan lebihan dagangan RM751.67 juta, sekali gus menjadikan Maldives antara destinasi eksport penting bagi negara.