
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh pada Jun 2026 mencerminkan daya tahan ekonomi negara, selain kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam rantaian bekalan global.
- Eksport sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor serta petroleum menunjukkan produk tempatan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
- Usaha memperluas pasaran dan peralihan kepada aktiviti bernilai tinggi selari dengan RMK13 dan konsep made by Malaysia.
- Momentum eksport positif menyokong sektor pembuatan melalui pertambahan tempahan, kapasiti serta perkembangan perkhidmatan logistik, pengangkutan dan kewangan.
- Peningkatan import barangan perantaraan, mesin dan teknologi membantu perluasan pengeluaran, pembinaan kapasiti serta meningkatkan produktiviti dan eksport bernilai tinggi.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata peningkatan eksport terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor serta keluaran petroleum membuktikan produk tempatan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, perkembangan itu juga hasil usaha negara memperluas pasaran perdagangan, seiring peralihan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Perkembangan perdagangan dengan ASEAN, China, AS dan negara-negara Eropah menunjukkan bahawa produk Malaysia masih mempunyai daya saing yang tinggi dan kompetitif di peringkat global.
“Pencapaian ini adalah selari dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menekankan peningkatan rencaman ekonomi iaitu peralihan daripada aktiviti pengeluaran biasa kepada yang bernilai tinggi yang berteraskan konsep made by Malaysia,” katanya.
Tambahnya, momentum eksport yang positif akan dapat menyokong sektor pembuatan melalui pertambahan tempahan dan kapasiti dengan menggalakkan perkhidmatan berkaitan seperti logistik, pengangkutan dan kewangan turut berkembang.
Beliau berkata, peningkatan import juga memberi petunjuk positif kerana sebahagian besarnya melibatkan barangan perantaraan, mesin, teknologi dan barangan modal yang digunakan syarikat untuk memperluas pengeluaran serta membina kapasiti baharu.
Perkembangan itu dijangka meningkatkan produktiviti dan menyokong eksport bernilai tinggi pada masa hadapan, sekali gus membantu mengekalkan momentum pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh kedua tahun ini.
Eksport negara mencatat nilai bulanan tertinggi baharu dengan berkembang 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion pada Jun 2026.
Import meningkat 43.9 peratus kepada RM163 bilion menjadikan lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion, lebihan ke-74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Bagi separuh pertama 2026, nilai perdagangan meningkat sebanyak 22.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion.