
SIBU, 21 Julai – Sebanyak enam unit lot kedai dua tingkat di Jalan Khoo Peng Long musnah dalam kejadian kebakaran pada tengah hari tadi.
- JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.29 petang.
- Anggota BBP Sibu Sentral digerakkan, dibantu BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya.
- Kebakaran melibatkan 28 lot kecil dalam sebuah bangunan kekal dua tingkat.
- Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan; punca dan anggaran kerugian masih disiasat, operasi diteruskan hingga kira-kira 7 malam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul kira-kira 1.29 petang.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kemudian digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya.
“Kebakaran melibatkan enam unit lot kedai yang mengandungi 28 lot kecil dalam sebuah bangunan kekal dua tingkat.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada terus merebak,” menurut JBPM Sarawak menerusi kenyataan.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan masih diteruskan setakat pukul 7 malam tadi.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan, selain punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.