Shah Alam lokasi pembukaan, penutupan SUKMA 2026

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pelancaran Aplikasi Digital Dana Plus / BERNAMA

KLANG, 21 Julai– Dataran Kemerdekaan, Shah Alam dipilih sebagai lokasi upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, manakala majlis penutupan akan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dataran Kemerdekaan, Shah Alam dipilih untuk upacara pembukaan; majlis penutupan di Aneka Walk, Seksyen 14.
  • Upacara pembukaan bersifat mini, meraikan kontinjen dengan perarakan ringkas sebagai pengumuman permulaan SUKMA 2026.
  • SUKMA Selangor 2026 berlangsung 15 hingga 24 Ogos; Para SUKMA diadakan 5 hingga 14 September.
  • 492 acara untuk SUKMA dan Para SUKMA: 469 acara daripada 37 sukan; Para SUKMA 316 acara merangkumi 10 sukan; 15 kontinjen termasuk Brunei.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan dibuat kerana kedua-duanya merupakan lokasi strategik selain mengambil kira aspek teknikal dan logistik.

“Kita umumkan (upacara pembukaan) di Dataran Kemerdekaan untuk mini perasmian bukan berskala besar.

Lokasi tersebut hanya untuk meraikan kontinjen dan ada sedikit perarakan sebagai pengumuman permulaan SUKMA 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aplikasi Digital Dana Plus, di sini.

Jelas beliau, lokasi penutupan dipilih bagi memastikan upacara berkenaan berlangsung dengan meriah serta mampu meninggalkan kenangan kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian.

Menurut Datuk Seri Amirudin, Kerajaan Negeri optimis persiapan penganjuran SUKMA 2026 akan berjalan lancar mengikut jadual menerusi kerjasama erat pelbagai agensi berkaitan.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.

Temasya itu mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.

SUKMA 2026 akan membabitkan penyertaan semua kontinjen negeri serta Brunei sebagai kontinjen jemputan, menjadikan keseluruhannya 15 kontinjen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.