
PUTRAJAYA, 21 Julai– Kontinjen Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Wilayah Persekutuan sasar 180 pingat keseluruhan tanpa mengira warna berdasarkan penilaian prestasi semasa atlet.
- Infrastruktur sukan Wilayah Persekutuan antara terbaik berbanding negeri lain dan menjadi kelebihan kontinjen.
- Menteri Hannah Yeoh mengingatkan atlet supaya tidak terlalu selesa dan perlu membawa semangat juang tinggi ketika bertanding.
- SUKMA Selangor 2026 dijadual 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA berlangsung 5 hingga 10 September.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keyakinan itu disokong sasaran keseluruhan 180 pingat tanpa mengira warna berdasarkan penilaian prestasi semasa atlet.
“Infrastruktur sukan di Wilayah Persekutuan adalah antara yang terbaik berbanding beberapa negeri lain dan ia merupakan satu kelebihan buat kita.
Namun, saya tidak mahu atlet terlalu selesa, sebaliknya perlu membawa semangat juang tinggi apabila turun bertanding nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, di sini.
Pada majlis itu, atlet bola jaring kebangsaan, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhaimi dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen SUKMA.
Manakala atlet renang para negara, Duran Yaspi Iman Basori diberi penghormatan sebagai pembawa bendera kontinjen Para SUKMA.
Temasya SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.