Ketua balai wajib tahan seorang penagih setiap hari

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 21 Julai – Polis Kelantan mewajibkan setiap ketua balai menahan sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua balai diwajibkan membuat sekurang-kurangnya satu tangkapan setiap hari, membabitkan penagih atau individu memiliki dadah.
  • Peranan dipecah: ketua balai fokus penagih, JSJN IPD ke pengedar, manakala IPK ke pembekal dan sindiket besar.
  • Pegawai atau anggota yang gagal mencapai KPI ditetapkan akan dikenakan tindakan tatatertib.
  • Statistik separuh tahun menunjukkan kes dan tangkapan menurun, namun nilai rampasan dadah meningkat kira-kira 17 peratus.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata arahan yang berkuat kuasa sejak 15 Julai lalu itu membabitkan semua 56 ketua balai di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilaksanakan kerana mustahil seseorang ketua balai tidak mengetahui lokasi dan aktiviti penagih dadah di kawasan pentadbirannya.

“Kita akan lihat hasilnya selepas tiga bulan. Saya mahu setiap ketua balai memainkan peranan lebih aktif di kawasan masing-masing, bukan hanya bergantung kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Setiap ketua balai diwajibkan membuat sekurang-kurangnya satu tangkapan setiap hari, sama ada membabitkan penagih atau individu yang memiliki dadah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, menerusi pelan strategi itu, ketua balai akan memberi tumpuan kepada tangkapan penagih.

Manakala JSJN di peringkat IPD akan memfokuskan tangkapan pengedar dan tokan, sementara IPK memberi keutamaan kepada pembekal dadah serta sindiket berskala besar.

Beliau berkata, mana-mana pegawai atau anggota yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tatatertib.

Katanya, sasaran terdahulu untuk menahan 85 penagih sehari didapati kurang berkesan kerana JSJN di peringkat IPK berdepan kekangan masa untuk menjalankan risikan.

“Melalui pendekatan baharu ini, kita yakin ia bukan sahaja dapat mengekang aktiviti pengedaran dadah, malah memberi tekanan kepada pengedar dan membantu mengurangkan kadar jenayah lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kes narkotik di Kelantan menurun 13 peratus kepada 12,051 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 13,957 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah tangkapan turut menurun 10 peratus kepada 13,182 orang berbanding 14,640 orang, namun nilai rampasan dadah meningkat 17 peratus kepada RM15.6 juta berbanding RM13.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.