
SEPANG, 20 Julai – AirBorneo hari ini melakar sejarah dengan memulakan penerbangan sulung bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur.
- AirBorneo menawarkan tambang tetap RM375 sepanjang tahun bagi memastikan harga tiket lebih stabil dan mampu milik.
- Kerajaan negeri menanggung sebahagian kos tetap; operasi dikendalikan secara komersial untuk merangsang pembangunan ekonomi Sarawak.
- Perancangan memperluas rangkaian ke Singapura dan Jakarta, seterusnya ke bandar utama ASEAN dan Asia Timur, mengukuhkan Sarawak sebagai hab ekonomi.
Ia sekali gus menandakan era baharu operasi syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak susulan pengambilalihan MASwings.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penerbangan sulung itu merupakan hadiah istimewa sempena sambutan Hari Sarawak yang diraikan pada 22 Julai ini, selain menjadi simbol hubungan lebih erat antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Hari ini merupakan permulaan perjalanan AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur. Ini adalah hadiah kepada rakyat Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia.
Kami mahu menstabilkan tambang penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak supaya ia kekal mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo Laluan Kuala Lumpur-Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Tambah beliau, AirBorneo menawarkan tambang tetap RM375 bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching sepanjang tahun bagi memastikan harga tiket lebih stabil dan mampu milik, khususnya kepada pelajar serta keluarga yang berulang-alik antara Sarawak dan Semenanjung.
Dalam perkembangan sama, Tan Sri Abang Johari berkata AirBorneo akan memulakan penerbangan sulung ke Singapura pada 22 Julai sempena Hari Sarawak, sebelum memperluas operasi ke Jakarta dalam tempoh dua bulan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang syarikat penerbangan bagi menghubungkan bandar-bandar utama di rantau ASEAN,” jelas beliau lagi.
Mengulas mengenai tambang yang kompetitif, beliau menjelaskan AirBorneo menggunakan model perniagaan berbeza berbanding syarikat penerbangan lain apabila berfungsi sebagai jambatan udara bagi merangsang pembangunan ekonomi Sarawak.
Menurutnya, kerajaan negeri akan membantu menampung sebahagian kos tetap, manakala operasi syarikat akan dijalankan secara komersial.
“Kami menganggap AirBorneo sebagai sebuah jambatan udara yang menghubungkan Sarawak dengan destinasi lain. Model perniagaan yang digunakan berbeza daripada syarikat penerbangan lain.
Kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kos tetap, manakala kos operasi akan diuruskan secara komersial,” katanya.
Beliau berkata AirBorneo turut berperanan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, pendidikan, pelancongan kesihatan dan pelaburan.
Ia termasuk mempromosikan tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Gua Niah serta status Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO.
Dalam jangka panjang, AirBorneo menyasarkan untuk memperluas rangkaian ke lebih banyak bandar utama ASEAN dan Asia Timur, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab ekonomi dan logistik serantau.