
KUANTAN, 19 Julai – Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 menyasarkan untuk mengenal pasti 60 pemain muda berpotensi bagi diserap ke dalam sistem pembangunan bola sepak negara.
- Pasukan pencari bakat akan menilai pemain sepanjang kejohanan hingga November.
- Penilaian fokus aspek teknikal bagi memenuhi spesifikasi ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
- LRK 2026 di Akademi Mokhtar Dahari, melibatkan pemain Bawah-12, Bawah-15 dan Bawah-16; perlawanan dua minggu, Piala LRK akhir November hingga awal Disember.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata pasukan pencari bakat akan menilai pemain sepanjang kejohanan yang berlangsung hingga November depan bagi mencapai sasaran itu.
Beliau berkata penilaian meliputi aspek teknikal untuk memastikan pemain terpilih menepati spesifikasi ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Yang paling penting sekarang adalah kita mengenal pasti permasalahan atau perkara yang boleh ditambah baik dalam bola sepak negara.
“Kita mahu mengembalikan semula semangat Mokhtar Dahari, seorang legenda yang pernah menjadi figura penting negara sehingga Malaysia dikenali sebagai Harimau yang mengaum dan digeruni di peringkat Asia,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, Gambang di sini hari ini.
LRK 2026 di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menghimpunkan pemain berusia di bawah 12, 15 dan 16 tahun dari seluruh negara.
Kesemua perlawanan berlangsung di AMD setiap dua minggu bermula 6 Jun lepas hingga 8 November depan.
Kemuncak saingan, Piala LRK 2026, dijadual berlangsung selama 11 hari dari 28 November hingga 8 Disember ini dengan penyertaan 14 pasukan bagi setiap kategori.