Usaha martabat sekolah pondok dan institusi pendidikan Islam terus diberi perhatian – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para pelajar ketika hadir pada Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak di Maahad Al -Ummah, Chemor/Foto BERNAMA

IPOH, 19 Julai – Usaha memartabatkan sekolah pondok dan institusi pendidikan Islam terus diberi perhatian bagi memastikan peranannya kekal relevan dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah pondok dipandang sebagai benteng ilmu, akidah dan pembentukan sahsiah masyarakat.
  • Institusi perlu diperkasa sambil mengekalkan tradisi pengajian Islam dan meneroka teknologi digital serta kecerdasan buatan.
  • Matlamat melahirkan generasi menguasai ilmu agama serta kemahiran menghadapi perubahan zaman.
  • Peruntukan RM15 juta untuk sekolah pondok Perak 2026 dan RM300,000 khusus untuk Maahad Al-Ummah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekolah pondok bukan sekadar warisan pendidikan agama, malah menjadi benteng ilmu, akidah dan pembentukan sahsiah masyarakat.

Menurutnya, institusi berkenaan perlu terus diperkasa dengan mengekalkan tradisi pengajian Islam, di samping meneroka bidang baharu termasuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Buktikan bahawa nama sekolah pondok dan madrasah atau maahad ini boleh melahirkan seperti mana kita saksikan bukan sahaja kepintaran, kecekalan dan ketrampilan dalam bidang-bidang disiplin tertentu seperti syariah, Bahasa Arab dan sebagainya, tetapi juga dalam ilmu-ilmu baharu selain mengekalkan tradisi Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan sekolah pondok terus melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama serta mempunyai kemahiran menghadapi perubahan zaman.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak di Maahad Al Ummah, Chemor.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM15 juta yang diluluskan untuk sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Perak bagi 2026, manakala RM300,000 diluluskan khusus untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah.

“Kita dah luluskan (peruntukan) tahun lepas (untuk) 115 pondok di Perak ini, tetapi tahun ini kita tambah untuk semua sekolah pondok di Perak yang tidak cukup bantuan yang lepas, kita beri RM15 juta,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.