Paras air Sg. Rasau lepasi tahap bahaya, empat lagi sungai di Selangor melepasi paras amaran

Foto JPS

SHAH ALAM, 18 Julai – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan lima stesen pemantauan sungai di Selangor merekodkan paras air melepasi tahap waspada, amaran dan bahaya susulan hujan yang melanda beberapa kawasan di negeri itu hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sungai Rasau (Taman Desa Kemuning) catat 3.18 m, 0.18 m melebihi paras bahaya; trend paras air terus meningkat.
  • Empat lagi stesen: Sungai Binjai, Sungai Rasau (Tugu Keris), Sungai Bakul dan Sungai Langat melepasi paras amaran atau waspada; tren berbeza.
  • Hanya hujan renyai direkodkan antara 0.5 hingga 1.5 milimeter; beberapa lokasi tidak merekodkan hujan ketika bacaan diambil.
  • Orang ramai, terutama penduduk berhampiran sungai, dinasihatkan berwaspada dan pantau portal InfoBanjir JPS.

Berdasarkan maklumat terkini InfoBanjir JPS setakat 9 malam, paras air Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang mencatat bacaan 3.18 meter, iaitu 0.18 meter melebihi paras bahaya 3.0 meter dengan trend air terus meningkat.

Empat lagi stesen merekodkan bacaan melepasi paras amaran dan waspada, iaitu Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang pada paras 4.11 meter, melebihi paras amaran sebanyak 0.11 meter dengan trend tidak berubah.

Turut melepasi paras amaran ialah Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang yang mencatat bacaan 3.70 meter, iaitu 0.10 meter melebihi paras amaran, namun menunjukkan trend menurun.

Di daerah Petaling, Sungai Bakul di Kampung Budiman merekodkan paras air 7.73 meter, melepasi paras amaran sebanyak 0.03 meter dengan trend menurun.

Sementara itu, Sungai Langat di Dengkil, Sepang mencatat bacaan 6.44 meter, iaitu 0.04 meter melepasi paras waspada dengan trend air kembali meningkat.

Berdasarkan bacaan hujan di stesen terlibat, hanya hujan renyai direkodkan dengan taburan antara 0.5 milimeter hingga 1.5 milimeter, manakala beberapa lokasi tidak merekodkan sebarang hujan ketika bacaan diambil.

Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berhampiran sungai yang terlibat, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa menerusi portal InfoBanjir JPS berikutan paras air di beberapa lokasi masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Terdahulu, hujan lebat di Lembah Klang petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Petaling Jaya dilanda banjir kilat.

Sehingga 5 petang tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima empat panggilan melibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi dengan kesemua kejadian tidak melibatkan mangsa.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.