Program Wilayah Sihat perkasa amalan gaya hidup sihat warga kota

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pemerkasaan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota terus diperhebat menerusi penganjuran program Wilayah Sihat yang berlangsung hari ini di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan peningkatan penyakit tidak berjangkit bandar seperti penyakit jantung, hipertensi, diabetes dan obesiti perlu ditangani melalui kesedaran awam.
  • Faktor gaya hidup tidak stabil, kawalan pemakanan lemah, kekurangan masa bersenam dan rehat menyumbang kepada beban penyakit.
  • Program menyediakan kaunter pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma serta promosi untuk pengesanan awal dan pembudayaan amalan sihat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penganjuran program tersebut penting sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan terutamanya dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit serta pelbagai isu kesihatan lain yang semakin kompleks di kawasan bandar.

“Kuala Lumpur sebagai ibu negara menjadi lambang kemerdekaan, kemajuan pembangunan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum. Bagaimanapun, Kuala Lumpur menjadi antara kawasan bandar yang mencatatkan peningkatan penyakit tidak berjangkit yang membimbangkan seperti penyakit jantung, hipertensi, diabetes dan obesiti.

“Situasi ini berkemungkinan disebabkan ketidakstabilan hidup seperti kurang kawalan pemakanan, kekangan waktu bersenam dan waktu berehat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selain penyakit tidak berjangkit, terdapat isu kesihatan lain yang turut menjadi cabaran ketika ini termasuk kesihatan mental, penyakit kanser serta faktor persekitaran.

“Kesedaran peningkatan masalah kesihatan mental, penyakit kanser dan tambahan masyarakat menua semakin meningkat dan merumitkan lagi kesihatan masyarakat.

“Pendedahan kepada pencemaran udara khususnya di kawasan bandar yang berpenduduk padat turut membimbangkan kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan masalah kesihatan lain,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Wilayah Sihat bersempena Unity Merdeka Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Program bertemakan ‘Kepelbagaian Disatukan, Kesejahteraan Dikekalkan’ itu turut menyediakan pelbagai pengisian berteraskan promosi kesihatan.

Ia termasuk kaunter pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma bagi menggalakkan pengesanan awal penyakit serta membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.