
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disaran mengutamakan kedaulatan undang-undang serta menghormati Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan proses demokrasi berjalan secara sihat, aman dan berintegriti sepanjang tempoh berkempen.
- Sistem pilihan raya di Malaysia menggabungkan prinsip demokrasi dan elemen tradisi sebagai asas pemerintahan negara.
- Gabungan prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan Rukun Negara membolehkan rakyat memilih pemimpin secara telus dan teratur.
- Tanggungjawab pengundi penting untuk memelihara demokrasi; kadar keluar mengundi tinggi memperkuat legitimasi kerajaan terpilih.
- Proses penamaan calon diadakan serentak di lapan pusat, SPR menetapkan tempoh berkempen 14 hari dan tarikh mengundi ditetapkan.
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, tempoh kempen sering menyaksikan pelbagai isu dan cabaran, justeru semua pihak perlu sentiasa menjunjung prinsip Perlembagaan.
“Semua pihak perlu mengangkat ketinggian Perlembagaan dan menghormati kedaulatan undang-undang.
Dalam masa berkempen, mestilah pelbagai perkara berlaku. Dan kita harapkan dalam proses demokrasi ini, kita sentiasa memuliakan, mengutamakan kedudukan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, sistem pilihan raya di Malaysia mencerminkan amalan demokrasi yang unik kerana menggabungkan prinsip demokrasi dengan elemen tradisi yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara.
Beliau berkata, gabungan prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan nilai yang terkandung dalam Rukun Negara membolehkan rakyat melaksanakan hak mereka untuk memilih pemimpin menerusi proses pilihan raya yang telus dan teratur.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tanggungjawab setiap pengundi amat penting bagi memastikan demokrasi terus subur.
Katanya, kadar keluar mengundi yang tinggi mencerminkan penyertaan aktif rakyat dalam proses demokrasi dan memperkukuh legitimasi kerajaan yang dipilih.
Proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 berlangsung serentak di lapan pusat penamaan calon di seluruh negeri hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, manakala pengundian awal dijadualkan pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.