
MIAMI, 18 Julai – Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, menegaskan beliau sama sekali tidak menyesal dengan keputusan taktikal yang dibuatnya ketika skuad Three Lions disingkirkan Argentina 2-1 pada aksi separuh akhir Piala Dunia, Rabu lepas.
- Tuchel mempertahankan penggantian pemain bertahan pada babak kedua meskipun menerima kritikan.
- Keputusan dibuat berdasarkan naluri, pengalaman dan daya saing untuk membantu pasukan mempertahankan kedudukan.
- Akui keletihan menjejaskan kecergasan; sahkan rombakan pemain untuk perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Perancis.
Tuchel mempertahankan tindakannya yang memasukkan pemain bertahan pada babak kedua yang mengundang kritikan hebat penganalisis sukan.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bersandarkan naluri serta pengalamannya demi membantu pasukan mempertahankan kedudukan.
“Jika anda bertanya sama ada saya menyesal dengan keputusan saya, jika itu soalannya, maka saya katakan tidak. Saya tidak menyesal kerana saya merasakan kita telah menjadi terlalu pasif (pada babak kedua).
“Saya mengambil beberapa keputusan dengan mempercayai naluri, gerak hati, pengalaman, serta daya saing saya. Segala keputusan itu diambil adalah untuk membantu pasukan dan mendapatkan keputusan perlawanan.
“Saya hanya akan menyesal jika saya tidak membantu atau jika kami tidak bertindak balas,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
England sebelum ini dihujani kritikan hebat selepas melepaskan kelebihan 1-0 sebelum Argentina melancarkan serangan bertali arus ke kubu mereka dan meledak dua gol lewat untuk mara ke pentas akhir menentang Sepanyol pada Ahad.
Beliau bagaimanapun mengakui faktor keletihan ekoran aksi di kawasan tanah tinggi menentang Mexico di pusingan 16 terakhir, disusuli aksi masa tambahan dalam cuaca panas terik menentang Norway di suku akhir serta faktor perjalanan jauh berkemungkinan telah menjejaskan kecergasan pasukannya.
Tuchel turut mengesahkan akan melakukan beberapa rombakan pemain pada aksi penentuan tempat ketiga menentang Perancis pada Ahad.
“Tiada siapa yang mahu bermain dalam perlawanan esok kerana semua (empat) pasukan mahu berada di New York (aksi final). Namun, ini adalah perlawanan rasmi Piala Dunia menentang salah sebuah pasukan terbaik dunia. Ini masanya untuk kami membuktikan kemampuan sebenar kami,” katanya.
Kali terakhir England menjuarai Piala Dunia adalah pada edisi 1966, namun negara berkenaan sering berdepan badi tewas dalam aksi penentuan tempat ketiga sebelum ini termasuk pada edisi 1990 dan 2018. – REUTERS