Belia perlu perkukuh jati diri, celik maklumat hadapi dunia digital

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2026/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Golongan belia perlu memperkukuh jati diri dan keupayaan menilai kesahihan maklumat bagi menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan ancaman penipuan dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belia perlu memperkukuh jati diri dan literasi maklumat untuk membezakan kandungan sebenar dan palsu dalam era AI.
  • Belia mesti lebih berwaspada terhadap kandungan dalam talian dan ancaman penipuan yang semakin canggih.
  • MPBN berfungsi sebagai platform rasmi menghimpun suara belia, merekod usul dan menyalurkan cadangan kepada pihak berkaitan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata perubahan landskap digital menuntut generasi muda lebih berwaspada terhadap kandungan yang diterima menerusi platform dalam talian.

“AI ni boleh buat orang nampak macam saya, tapi sebenarnya bukan saya. Jadi sangat penting untuk kita tahu apa yang benar dan apa yang palsu. Kita kena tahu mana satu betul dan mana satu tidak,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2026 Peringkat Kawasan Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata belia merupakan kelompok penting yang akan mencorakkan masa depan negara.

Menurut beliau, pembangunan golongan itu perlu merangkumi aspek kepimpinan, ekonomi, kesukarelawanan, kesihatan mental dan integriti, selain melahirkan individu berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.

“Bandar Tun Razak mempunyai 57,396 belia yang berpotensi, kreatif dan dinamik, namun sebahagian daripada mereka masih berdepan cabaran sosioekonomi termasuk kemiskinan bandar,” katanya.

Mengenai persidangan MPBN, beliau berkata ia bukan sekadar perjumpaan, tetapi platform rasmi untuk menghimpunkan suara belia dan pihak berkepentingan supaya perbincangan dibuat secara terbuka, tersusun dan fokus.

Usul yang dikemukakan pada persidangan kali ini melibatkan kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Belia serta Pembangunan Keusahawanan Belia.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata setiap pandangan, cadangan dan resolusi yang dikemukakan perlu direkodkan serta diteliti untuk perhatian pihak berkaitan, termasuk dalam perkara melibatkan dasar dan kerjasama rentas agensi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.