Inflasi Jun kekal sederhana pada 1.9 peratus – DOSM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Inflasi Malaysia meningkat perlahan kepada 1.9 peratus pada Jun 2026 berbanding 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan makanan dan minuman, menyumbang 29.8% wajaran IHP, kekal meningkat 1.4 peratus.
  • Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.4 peratus, didorong pengemaskinian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik AFA.
  • Kumpulan pengangkutan mencatat peningkatan sederhana kepada 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus bulan sebelumnya.

Indeks Harga Pengguna yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi meningkat kepada 137.1 mata daripada 134.5 mata pada bulan sama, tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, inflasi kumpulan pengangkutan meningkat sederhana kepada 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya.

”Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan selain kumpulan pendidikan, turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan, masing-masing kepada 3.4 peratus (Mei 2026: 4.8 peratus) dan 2.1 peratus (Mei 2026: 2.2 peratus).

“Sebaliknya, kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan mencatatkan peningkatan kepada 5.7 peratus pada Jun 2026 berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Jelas DOSM, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.4 peratus, kadar sama direkodkan pada bulan sebelumnya.

Selain itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.4 peratus pada Jun 2026 berbanding 1.2 peratus pada Mei 2026.

Menurutnya, peningkatan itu didorong pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang memberi impak kepada purata nilai tarif elektrik berbanding tempoh sebelumnya.

Sementara itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Jun 2026 menurun kepada RM4.33 seliter berbanding RM4.81 seliter pada Mei 2026, manakala purata harga diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak RM4.50 seliter berbanding RM5.01 seliter bulan sebelumnya.

“Purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Purata harga petrol RON95 merekodkan RM3.69 seliter pada Jun 2026 berbanding harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter,” katanya dalam satu kenyataan.

DOSM memaklumkan tujuh negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras inflasi nasional, iaitu Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Negeri Sembilan (2.5 peratus), Labuan (2.3 peratus), Kuala Lumpur (2.2 peratus), Kedah (2.0 peratus) dan Putrajaya (2.0 peratus).

Jelas DOSM, untuk tempoh suku kedua 2026, inflasi negara meningkat 1.9 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku pertama tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.