
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 berdasarkan anggaran awal, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
- Pertumbuhan disokong hampir semua sektor; pertanian menguncup 3.7 peratus.
- Sektor perkhidmatan kekal pemacu utama, disokong perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
- Sektor pembuatan berkembang pesat, dipacu industri berorientasikan eksport seperti elektronik, petroleum, kimia, getah dan plastik.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pertumbuhan itu disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi, kecuali pertanian yang mencatatkan penguncupan.
“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diramal tumbuh 5.6 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding 4.5 peratus bagi tempoh sama pada 2025,” menurut DOSM dalam satu kenyataan.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi dengan pertumbuhan 5.4 peratus, disokong subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
Sektor pembuatan pula berkembang 7.5 peratus berbanding 5.9 peratus pada suku pertama, dipacu industri berorientasikan eksport.
Antaranya pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Sektor perlombongan dan pengkuarian kembali pulih dengan pertumbuhan 10.2 peratus, didorong prestasi subsektor gas asli.
“Sementara itu, sektor pembinaan berkembang sederhana pada kadar 6.6 peratus berbanding 7.7 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor itu disokong subsektor bangunan bukan kediaman bagi projek pembinaan pusat data dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” jelas DOSM.
Sektor pertanian menguncup 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.6 peratus pada suku pertama susulan penurunan dalam semua subsektor, kecuali pertanian lain dan ternakan.
DOSM memaklumkan data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang menyediakan analisis terperinci mengenai prestasi ekonomi suku kedua 2026 akan dikeluarkan pada 14 Ogos ini.