
NEW DELHI, 16 Julai – India mengarahkan syarikat perkapalan tempatan supaya tidak menempatkan kru warga negara itu di kapal yang melalui Selat Hormuz susulan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
- Ketegangan meningkat selepas serangan AS ke atas Iran dan tindak balas Tehran.
- DGMA memantau rapat situasi keselamatan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pelaut India.
- Sekurang-kurangnya dua kru kapal warga India terbunuh dalam serangan terhadap kapal komersial baru-baru ini.
- Sarbananda Sonowal lancarkan inisiatif kecemasan 'Seafarer-First' untuk keselamatan pelaut di rantau Teluk.
Arahan itu dikeluarkan susulan ketegangan memuncak di rantau Teluk selepas serangan AS ke atas Iran dan tindak balas Tehran.
Direktorat Agung Pentadbiran Maritim India (DGMA) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kru kapal warga India tidak dibenarkan ditempatkan di kapal yang melalui Selat Hormuz sehingga arahan baharu dikeluarkan.
Pihaknya turut memantau rapat situasi keselamatan di rantau itu bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelaut India terus terjamin.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik dunia bagi penghantaran minyak dan gas yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman.
Keputusan itu dibuat selepas sekurang-kurangnya dua kru kapal warga India terbunuh dalam serangan terhadap kapal komersial di rantau berkenaan sejak minggu lalu.
Sebelum ini, Menteri Perkapalan India, Sarbananda Sonowal turut melancarkan inisiatif kecemasan “Seafarer-First” bagi memastikan keselamatan rakyat India yang bekerja di kapal di Teluk Parsi, Selat Hormuz dan Teluk Oman.
India merupakan antara penyumbang utama tenaga pelaut dunia, dengan lebih 320,000 pelaut aktif direkodkan pada 2025.
Sementara itu, Kementerian Luar India menyifatkan serangan terhadap kapal komersial di rantau itu sebagai perkembangan yang membimbangkan dan boleh menjejaskan keselamatan pelayaran antarabangsa..- AFP