
LONDON, 16 Julai – Pengawal selia komunikasi Britain, Ofcom, membuka siasatan terhadap platform media sosial TikTok bagi menilai sama ada syarikat itu mematuhi undang-undang negara tersebut dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.
- Ofcom menilai sama ada terdapat alasan munasabah bahawa TikTok gagal mematuhi tanggungjawab di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.
- Siasatan memberi tumpuan kepada model pengesahan umur dan kaedah anggaran umur platform.
- TikTok berkata mereka memenuhi keperluan undang-undang, menggunakan peraturan pakar dan teknologi anggaran umur canggih.
- Ofcom memberi amaran akses mudah kanak-kanak ke laman pornografi; Google dan Bing akan bekerjasama mencari penyelesaian.
Menurut Ofcom, siasatan itu akan menilai sama ada wujud asas munasabah untuk mendapati TikTok gagal atau sedang gagal memenuhi tanggungjawab perundangan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, yang diperkenalkan tahun lalu bagi memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak, daripada kandungan berbahaya.
Antara perkara yang diberi tumpuan ialah model pengesahan umur yang digunakan oleh platform berkenaan.
TikTok yang dimiliki ByteDance, berpangkalan di China, berkata pihaknya yakin telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan di bawah undang-undang Britain.
Seorang jurucakap syarikat itu memaklumkan, TikTok melaksanakan pengalaman sesuai mengikut umur melalui peraturan platform yang dibangunkan bersama pakar serta teknologi anggaran umur yang canggih, sejajar dengan amalan utama industri.
Bagaimanapun, Pengarah Strategi dan Penyelidikan Ofcom, Kate Davies, berkata pihaknya mempunyai keraguan terhadap kaedah anggaran umur yang digunakan sesetengah platform media sosial kerana ia menilai umur pengguna berdasarkan tingkah laku dalam talian.
“Kaedah itu tidak dianggap sebagai langkah pengesahan yang berkesan,” katanya.
Akta Keselamatan Dalam Talian Britain bertujuan menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan membabitkan bunuh diri, mencederakan diri, gangguan pemakanan dan pornografi.
Ia juga mewajibkan syarikat teknologi melindungi kanak-kanak daripada kandungan misoginis, ganas, kebencian, buli dalam talian serta cabaran berbahaya.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga £18 juta atau 10 peratus daripada hasil pendapatan syarikat.
Dalam laporan berasingan, Ofcom turut memberi amaran bahawa kanak-kanak masih boleh menggunakan enjin carian untuk mencari laman pornografi tanpa semakan umur dengan mudah.
Susulan dapatan itu, Google Search dan Bing milik Microsoft akan bekerjasama dengan Ofcom bagi mencari penyelesaian praktikal untuk mengekang akses ke laman berkenaan tanpa kawalan umur. -AFP