Taman Medan dikenal pasti tapak utama pembinaan Hospital Petaling Jaya

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di Shah Alam. – Foto Bernama

SHAH ALAM, 15 Julai – Kawasan Taman Medan dikenal pasti sebagai tapak pembinaan Hospital Petaling Jaya bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan padat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri sedang melaksanakan proses pengambilan tanah dan berunding kos untuk merealisasikan pembinaan Hospital Petaling Jaya.
  • Tapak dipilih kerana kepadatan penduduk, lokasi lebih strategik berbanding Hospital Shah Alam dan PPUM, serta memberi manfaat kepada kawasan sekitar.
  • Tapak alternatif di SS8 Kelana Jaya disediakan; kedua-dua tapak 10 hingga 15 ekar, maklum balas awal KKM menyokong lokasi utama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini sedang mengusahakan segera proses pengambilan tanah bagi merealisasikan pembinaan hospital berkenaan.

Jelas beliau, Taman Medan dipilih sebagai lokasi utama kerana kepadatan penduduk yang tinggi serta kedudukannya yang lebih strategik berbanding kemudahan kesihatan sedia ada seperti Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Kita dah kenal pasti tapak. Kita akan segera melaksanakan proses pengambilan dan kos yang juga kita sedang negotiate (berunding) dengan pihak terbabit. Kita ada dua tapak tadi. Kita mulakan tapak yang paling accessible (mudah diakses).

“Tapak itu berada dalam kawasan sekitar Taman Medan kerana ia berada dalam kawasan sekitar penduduk yang padat dan akses yang jauh dari institusi kesihatan seperti Hospital Shah alam ataupun PPUM.

“Malah, ia boleh turut memberikan manfaat kepada penduduk di Puchong ataupun di Jalan Klang Lama dan juga di kawasan Subang yang boleh akses terhadap pembangunan kesihatan,” katanya.

Menurut Datuk Seri Amirudin, sebuah lagi tapak alternatif turut dikenal pasti di SS8, Kelana Jaya melibatkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sekiranya terdapat kekangan di lokasi utama.

Kedua-dua tapak berkeluasan antara 10 hingga 15 ekar, namun maklum balas awal Kementerian Kesihatan menunjukkan Taman Medan merupakan lokasi paling sesuai.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di Shah Alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.