Datuk Seri Wan Suraya terima pengiktirafan Anugerah Donald R. Cressey

Datuk Seri Wan Suraya, simbol inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta di peringkat antarabangsa / Foto FB Jabatan Audit Negara

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Malaysia melakar sejarah di persada antarabangsa apabila Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, diumum penerima Donald R. Cressey Award 2026 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • ACFE menganugerahkan pengiktirafan berprestij yang diperkenalkan sejak 1989; ia merupakan pencapaian julung kali bagi Malaysia.
  • Penerima merupakan individu pertama dari ASEAN, kedua dari Asia, dan Ketua Audit Negara pertama di dunia menerima anugerah ini.
  • ACFE memuji kecemerlangan, inovasi dan integriti penerima; pengiktirafan memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan antarabangsa terhadap tadbir urus.

Kenyataan Jabatan Audit Negara menyebut pengiktirafan tertinggi itu dianugerahkan oleh Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah
(ACFE), yang merupakan organisasi profesional antipenipuan terbesar dunia.

“Pengiktirafan berprestij antarabangsa dalam bidang antipenipuan dan tadbir urus yang diperkenalkan sejak 1989 merupakan pencapaian julung kali bagi Malaysia.

“Datuk Seri Wan Suraya adalah penerima pertama dari rantau ASEAN dan kedua dari Asia bagi anugerah tersebut.

“Beliau juga merupakan Ketua Audit Negara pertama di dunia yang menerima anugerah tersebut sejak diperkenalkan 37 tahun lepas,”menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden ACFE, John Gill, J.D., CFE memaklumkan, Datuk Seri Wan Suraya mencerminkan standard kecemerlangan serta integriti tinggi selaras nilai yang sinonim dengan Anugerah Cressey.

“Beliau merupakan simbol inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta di peringkat antarabangsa.

“ACFE berbesar hati mengiktiraf impak yang telah dihasilkan serta pendekatan inovatif beliau dalam audit dan pengurusan risiko penipuan, yang telah meningkatkan ketelusan serta memperkukuh kepercayaan kepada sektor awam di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Anugerah disampaikan semasa Persidangan ACFE Global Fraud Ke-37 di Boston, yang menghimpunkan lebih 5,000 profesional antipenipuan seluruh dunia merangkumi sektor awam dan swasta.

Pengiktirafan bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah mencerminkan keyakinan antarabangsa kepada komitmen negara dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam, khususnya melalui peranan audit yang bebas, berwibawa dan berimpak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.