Fenomena Super El Nino : KPKM disaran sediakan langkah mitigasi

Mesyuarat turut meneliti agenda memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara/Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disaran segera menyediakan langkah mitigasi menghadapi fenomena Super El Nino yang diramal bermula November.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat menekankan pengurangan impak terhadap pengeluaran makanan dan perlindungan petani, penternak serta nelayan.
  • KPKM diarahkan memuktamadkan langkah segera melalui saluran sewajarnya tanpa berkompromi terhadap piawaian keselamatan dan kualiti makanan.
  • Kerajaan akan perkukuh sektor agromakanan menerusi teknologi, inovasi dan amalan terbaik untuk tingkatkan daya saing pengeluar tempatan dan jamin bekalan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi muat naik hantaran di Facebook memaklumkan, keperluan itu bertujuan mengurangkan impak fenomena terhadap pengeluaran makanan negara, selain memastikan komuniti petani terus dilindungi.

“Perkara berkenaan antara yang dibincangkan ketika saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026.

“Selain itu, mesyuarat turut membincangkan isu kerjasama sektor perikanan dengan Thailand.

“KPKM diarah untuk memuktamadkan perkara berkenaan dengan segera melalui saluran yang sewajarnya, tanpa berkompromi terhadap piawaian keselamatan dan kualiti makanan.

“Libat urus berterusan juga perlu dilaksana bersama komuniti nelayan agar produk mereka dapat memenuhi piawaian ditetapkan,”menurut hantaran itu.

Mesyuarat turut meneliti agenda memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan kesejahteraan petani, pesawah, penternak dan nelayan.

Kerajaan, jelas Datuk Seri Anwar sedia memperkukuh sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik bertujuan memastikan pengeluar tempatan terus berdaya saing, sekali gus menjamin bekalan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.