
SHAH ALAM, 15 Julai – Pakatan Harapan (PH) akan memperkemaskan strategi dan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan susulan pencapaian pada PRN Johor.
- Fokus tingkatkan sokongan pengundi muda dengan gerak kerja bersasar berdasarkan data cerapan setiap saluran.
- Keputusan Johor tunjuk sokongan kuat pengundi Cina tetapi penurunan sokongan pengundi Melayu; faktor isu semasa dan populariti tempatan.
- Mesyuarat kepimpinan untuk susun strategi kemas, pilih calon sesuai latar dan lokaliti, serta perkuatkan penyampaian mesej gabungan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan sokongan pengundi muda serta menyusun gerak kerja yang lebih bersasar.
Menurutnya, keputusan di Johor menunjukkan gabungan itu masih mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan pengundi Cina, namun berlaku penurunan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada keputusan itu termasuk pengaruh isu semasa dan populariti tempatan yang berbeza mengikut negeri.
“Kita akan memperkemaskan sokongan kita, merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi muda sebab peratusan pengundi muda masih lagi boleh dikenalpasti dan boleh dipertingkatkan berdasarkan daripada data cerapan setiap saluran yang telah kita kembangkan.
“Malam ini saya akan meeting (bermesyuarat) dengan kepimpinan Pakatan Harapan pula supaya kita boleh menyusun strategi yang lebih kemas dalam pilihan raya Negeri Sembilan dan persediaan pilihan raya Melaka dan Sarawak serta pilihan raya-pilihan raya lain,” katanya.
“Cuma dalam pendekatan Negeri Sembilan, kita tengok kepada kesesuaian latar belakang, lokaliti dan kawasan calon-calon yang kita perkenalkan. Tapi, alhamdulillah saya percaya kita masih lagi berada dalam landasan yang tepat dan kukuh untuk pertahankan Negeri Sembillan,” tambahnya lagi.
Datuk Seri Amirudin berkata, kerjasama antara PKR, Amanah dan DAP akan diperkukuhkan menerusi penyampaian mesej yang lebih tersusun bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.