PGA tahan lelaki bawa lembu tanpa dokumen

Seorang lelaki ditahan bersama seekor lembu tanpa dokumen sah di Pengkalan Kubor, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

TUMPAT, 14 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki bersama seekor lembu yang dipercayai dibawa tanpa dokumen sah dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Kubor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan melibatkan seekor lembu dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM43,000.
  • Anggota menahan lori mencurigakan; pemeriksaan menemukan lembu dan pemandu gagal mengemukakan dokumen berkaitan.
  • Suspek dakwa membantu jiran tanpa upah; kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Rampasan membabitkan seekor lembu dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM43,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA menahan lelaki itu selepas mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan di Jalan Terbok–Kelaboran Belukar, Kampung Pak Keral Hilir, kira-kira pukul 7 malam.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan seekor lembu. Pemandu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan haiwan ternakan itu sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mendakwa hanya membantu jirannya untuk menghantar lembu berkenaan ke Pasir Mas.

“Suspek juga mendakwa tidak menerima sebarang upah bagi membantu urusan penghantaran lembu tersebut,” katanya.

Kes telah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.