11 lelaki Bangladesh ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kangar bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut. / Foto RTM

KUALA PERLIS, 13 Julai – 11 lelaki warga Bangladesh ditahan Jabatan Imigresen menerusi operasi bersepadu di pelbagai premis perniagaan, tempat kerja dan tapak pembinaan sekitar Arau, Beseri serta Kangar, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 11 lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi bersepadu di premis perniagaan, tempat kerja dan tapak pembinaan sekitar Arau, Beseri dan Kangar.
  • 10 disyaki melanggar syarat pas mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
  • Operasi memeriksa 38 individu; 14 tempatan, 24 warga asing (usia 22-57), termasuk 9 India, 1 Myanmar, 1 Pakistan, 12 Bangladesh, 1 Indonesia.

Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md. Ali berkata penahanan dibuat atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

“10 daripada mereka disyaki melanggar syarat pas mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang media operasi berkenaan di Pusat Latihan Imigresen Wilayah Utara, di sini.

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kangar bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Jelasnya, kesemua individu itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap 38 individu dalam operasi selama kira-kira dua jam bermula pukul 10 pagi.

Daripada jumlah yang diperiksa, 14 ialah warga tempatan manakala 24 lagi warga asing berusia antara 22 hingga 57 tahun.

“Warga asing yang diperiksa terdiri daripada sembilan warga India, seorang warga Myanmar, seorang warga Pakistan, 12 warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.