12 pemandu, kelindan positif dadah dalam operasi JPJ Melaka

Pengawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atas pemandu kenderaan perdagangan/Foto fail BERNAMA

JASIN, 13 Julai – Seramai 12 individu, termasuk lapan pemandu dan empat kelindan, dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sejak 1 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saringan air kencing mengesan methamphetamine, ganja, syabu dan morfin dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.
  • Operasi bersepadu JPJ bersama AADK, PDRM dan PLUS fokus kepada pemandu barangan, pengangkutan awam dan pelancongan.
  • AADK akan mengambil tindakan undang-undang; JPJ menahan Lesen Vokasional PSV/GDL untuk siasatan dan boleh menggantung lesen memandu.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, hasil saringan air kencing mendapati kesemua individu terbabit positif dadah, antaranya methamphetamine, ganja, syabu dan morfin.

Operasi bersepadu yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS Malaysia Berhad itu memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan barangan, pengangkutan awam dan pelancongan.

Menurut beliau, pemandu yang didapati positif dadah akan dikenakan tindakan oleh AADK mengikut peruntukan undang-undang, manakala JPJ akan menahan Lesen Vokasional (PSV atau GDL) bagi tujuan siasatan sebelum menggantung lesen memandu mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.

Sepanjang operasi, sebanyak 164 kenderaan diperiksa membabitkan 152 kenderaan barangan, sembilan kenderaan pelancongan dan tiga kenderaan pengangkutan awam.

Pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk memandu tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh, tidak memiliki Lesen Vokasional (GDL), GDL tamat tempoh serta kesalahan lain di bawah peruntukan berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.