
ALOR GAJAH, 13 Julai – Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka gagal apabila mereka berjaya ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Alor Gajah dan Melaka Tengah, hari ini.
- Operasi bermula pukul 10 pagi menyasarkan premis dikendalikan warga asing di Alor Gajah dan Melaka Tengah.
- Dua premis disyaki menjalankan aktiviti tambah nilai judi dalam talian diselindungkan sebagai kedai makan dan kedai runcit.
- Sebanyak 64 diperiksa, 40 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1959/63; tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo.
Operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu menyasarkan beberapa premis yang dikendalikan warganegara asing.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, terdapat individu yang sanggup melintasi jalan utama dan bersembunyi bagi mengelak ditahan, namun tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menggagalkan cubaan tersebut.
“Pertamanya tadi ada yang berlari melintasi jalan utama di kawasan industri ini yang memang berbahaya. Ada juga satu kawasan premis di mana berlaku aksi kejar-mengejar. Alhamdulillah, kami dapat membuat tangkapan,” katanya.
Pemeriksaan turut mengesan dua premis yang disyaki menjalankan aktiviti tambah nilai judi dalam talian berselindung di sebalik operasi sebuah kedai makan dan kedai runcit.
Beliau berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
Secara keseluruhan, seramai 64 individu diperiksa dengan 40 warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua tahanan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Nepal sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo bagi membantu siasatan.
Dalam operasi sama, JIM Melaka turut mengeluarkan empat saman terhadap warganegara tempatan bagi membantu siasatan.