
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan terus memperkukuh industri pertahanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap pembekal asing, sekali gus memastikan kesiapsiagaan aset strategik negara sentiasa terpelihara.
- ATM masih bergantung pada pembekal luar terutama untuk pesawat, kapal dan sistem persenjataan berteknologi tinggi.
- Kerajaan guna pendekatan jangka panjang: pembangunan teknologi tempatan, tenaga kerja mahir dan pemerkasaan ekosistem selaras DIPN.
- Tujuh projek rintis DIPN dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan strategik tempatan seperti satelit pertahanan, sistem laser dan perisikan elektronik pasif.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ATM ketika ini masih bergantung pada pembekal luar, khususnya bagi aset strategik seperti pesawat, kapal serta sistem persenjataan berteknologi tinggi.
Bagaimanapun, katanya, situasi itu merupakan realiti dalam industri pertahanan global berikutan tahap kompleksiti dan kos pembangunan aset ketenteraan yang tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang dengan memperkukuh kapasiti industri pertahanan domestik menerusi pembangunan teknologi tempatan, penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pemerkasaan ekosistem industri selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
“Kerajaan sentiasa memastikan kebergantungan ini tidak menjejaskan perancangan pembangunan aset strategik negara melalui pendekatan jangka panjang yang lebih mampan.
“Dalam hal ini, kerajaan menyokong pembangunan industri tempatan melalui peningkatan kapasiti industri pertahanan domestik, pembangunan tenaga mahir tempatan serta pemerkasaan ekosistem industri selaras dengan DIPN.
“Usaha ini bertujuan mengurangkan risiko gangguan bekalan, kelewatan penghantaran serta kebergantungan kepada sumber luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, yang meminta penjelasan mengenai tahap kebergantungan ATM kepada pembekal asing serta langkah kerajaan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan, kelewatan penghantaran dan pembatalan kontrak pada masa hadapan.
Menurut Adly, sebanyak tujuh projek rintis di bawah DIPN kini sedang dilaksanakan bagi membangunkan keupayaan strategik tempatan, termasuk perkhidmatan satelit pertahanan negara, sistem laser pertahanan serta sistem perisikan elektronik pasif.