
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Empat syarikat Malaysia ditawarkan enam akses teknologi Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan, termasuk dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
- Kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm memberi akses kepada harta intelek serta platform pengkomputeran, memendekkan pembangunan dan mengurangkan risiko R&D.
- Akses teknologi perlu diterjemahkan kepada pemilikan teknologi untuk bergerak daripada pangkalan pembuatan kepada rakan inovasi yang dipercayai.
- Skala kejayaan dinilai melalui prototaip, pengesahan pelanggan, pengkomersialan, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan penghasilan harta intelek tempatan.
- Latihan menyasarkan 10,000 profesional semikonduktor dalam empat tahun; 1,530 peserta telah menjalani latihan bagi memperkukuh bakat tempatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tawaran itu merangkumi tiga akses ‘Arm Compute Subsystems’ dan tiga lesen ‘Arm Flexible Access’.
Menurut beliau, kerjasama strategik Malaysia–Arm membolehkan syarikat tempatan mendapat akses kepada harta intelek dan platform pengkomputeran yang telah terbukti, sekali gus memendekkan tempoh pembangunan serta mengurangkan risiko penyelidikan dan pembangunan.
“Bagaimanapun, akses teknologi hanyalah titik permulaan. Ukuran sebenar kejayaan ialah apabila akses itu dapat diterjemahkan kepada pembangunan prototaip, pengesahan pelanggan, pengkomersialan, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan kerjasama tempatan serta penghasilan harta intelek milik Malaysia.
“Kami menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia tampil merebut peluang ini, memanfaatkan teknologi yang tersedia dan membangunkan produk yang mampu bersaing di pasaran serantau serta global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada The Edge-HSBC E&E Symposium 2026.
Kerjasama berkenaan turut menyasarkan latihan kepada 10,000 profesional semikonduktor dalam tempoh empat tahun.
Setakat 3 Julai lalu, seramai 1,530 peserta telah menjalani latihan di bawah inisiatif berkenaan bagi memperkukuh kumpulan bakat tempatan dalam bidang semikonduktor.
Menurut beliau, akses kepada teknologi perlu diterjemahkan kepada pemilikan teknologi supaya Malaysia dapat bergerak daripada sekadar pangkalan pembuatan kepada rakan inovasi yang dipercayai.
Katanya, matlamat itu selaras dengan usaha negara beralih daripada produk ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’, dengan lebih banyak nilai, kepakaran dan harta intelek kekal dalam ekonomi tempatan.