
LONDON, 13 Julai – Sekurang-kurangnya 2,700 orang dilaporkan meninggal dunia di England dan Wales akibat gelombang haba ekstrem yang melanda wilayah berkenaan pada Mei dan Jun lepas.
- UK dan sebahagian Eropah alami dua gelombang haba luar biasa pada Mei dan Jun, rekod suhu bulanan 35.1ºC dan 37.7ºC.
- Kajian anggar kira-kira 550 maut antara 21-29 Mei dan hampir 2,200 maut antara 18-28 Jun di England dan Wales.
- Penyelidik kaitkan pemanasan global, suhu siang naik 3 hingga 4ºC; CCC kata UK masih belum bersedia, cadangkan pelaburan pendingin hawa.
Menurut satu kajian yang dikeluarkan pada Isnin, pakar daripada Imperial College London, Pejabat Meteorologi serta London School of Hygiene and Tropical Medicine menganggarkan jumlah kematian itu bersandarkan kepada data cuaca, model iklim, dan kajian mortaliti lampau.
United Kingdom (UK) dan sebahagian besar Eropah berhadapan dua gelombang haba luar biasa pada Mei dan Jun, yang menyaksikan rekod suhu bulanan tertinggi di England masing-masing mencecah 35.1º darjah Celsius dan 37.7º darjah Celsius.
Pengurus Sains Pasukan Atribusi Iklim Met Office, Mark McCarthy dipetik dalam kajian itu menyifatkan fenomena berkenaan sebagai gelombang haba yang ekstrem dan luar biasa ekoran berlaku terlalu awal pada tahun ini.
Kajian tersebut memperincikan bahawa kira-kira 550 orang maut akibat cuaca panas antara 21 hingga 29 Mei, manakala hampir 2,200 lagi terkorban antara 18 hingga 28 Jun di England dan Wales.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) dijangka menerbitkan jumlah anggaran rasmi kematian berkaitan haba dalam beberapa minggu akan datang berdasarkan rekod pendaftaran kematian semasa.
Ketua Pusat Kesihatan Keselamatan dan Iklim UKHSA, Lea Berrang Ford menegaskan model kajian terbaharu itu jelas menunjukkan skala risiko haba melampau dan ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat terhadap kesejahteraan penduduk.
Penyelidik kajian turut menekankan peranan pemanasan global yang menyebabkan suhu maksimum pada waktu siang meningkat 3º hingga 4º darjah Celsius lebih tinggi berbanding kadar normal.
Sebelum ini, Jawatankuasa Perubahan Iklim (CCC) yang bertanggungjawab menasihati kerajaan UK telah memberi amaran bahawa negara itu masih “belum bersedia” menghadapi impak perubahan iklim.
Menerusi laporan yang diterbitkan pada Mei tahun lalu, CCC menganggarkan 92 peratus kediaman di Britain berisiko mengalami keadaan terlalu panas menjelang 2050, selain menyarankan kerajaan menetapkan had suhu maksimum di tempat kerja serta melabur dalam sistem pendingin hawa di bangunan awam seperti hospital dan sekolah. – AFP