
SETIU, 12 Julai – Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 69, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, pagi tadi.
- Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi ketika lori UDT sedang mengundur selepas keluar dari simpang.
- Sebuah kereta Perodua Kancil melanggar bahagian belakang lori; pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Setiu.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; saksi diminta hubungi Inspektor Thaufiq di 011-26069043.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 7.15 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi apabila sebuah lori jenis UDT yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun keluar dari simpang ke jalan utama sebelum mengundur untuk meletakkan kenderaan.
“Semasa mengundur, lori tersebut telah dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Setiu, Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan.