
SEREMBAN, 12 Julai – Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun ditemukan telah meninggal dunia di sebuah rumah di pangsapuri Ampangan di sini, semalam.
- Orang awam melaporkan bau kurang menyenangkan; polis dan pihak bomba bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan pada pukul 5.39 petang.
- Polis menemui wanita dipercayai sudah meninggal lima hingga enam hari; tiada tanda pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah ditemui.
- Mangsa tinggal bersendirian dan mempunyai sejarah masalah kesihatan; mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat; kes diklasifikasikan sebagai SDR.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata pihaknya menerima laporan tersebut pada pukul 5.39 petang, selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau kurang menyenangkan dipercayai daripada unit kediaman berkenaan.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban, bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Rumah tersebut dibuka dengan bantuan pihak bomba dan pihak polis menemukan seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia sejak lima hingga enam hari lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, hasil siasatan awal tiada unsur jenayah ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.
“Tiada sebarang tanda pergelutan, unsur jenayah atau kesan pecah masuk ditemukan di lokasi kejadian. Siasatan awal turut mendapati mangsa tinggal bersendirian dan mempunyai sejarah masalah kesihatan,” katanya.
Beliau berkata kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, sebelum mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.