PPR Desa Tun Razak dinaik taraf, 8,000 penduduk nikmati kemudahan lebih selesa

PPR Desa Tun Razak/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Lebih 8,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak kini menikmati kemudahan kediaman lebih selesa selepas kerja naik taraf bernilai RM9.6 juta selesai dilaksanakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan tambahan RM300 juta diluluskan untuk pelaksanaan penyelenggaraan dan naik taraf PPR Kuala Lumpur secara lebih sistematik.
  • Naik taraf menumpukan keselamatan dan keselesaan penghuni melalui peningkatan sistem pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik dan kemudahan asas.
  • Kerja termasuk cat, penaiktarafan riser sistem kebakaran, turapan jalan dan sistem perparitan dilaksanakan oleh DBKL bersama pihak berkepentingan.

Projek itu merupakan antara 22 daripada 61 projek naik taraf PPR di ibu negara yang telah disiapkan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata projek berkenaan sebahagian daripada peruntukan tambahan RM300 juta yang diluluskan kerajaan tahun ini bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan naik taraf semua PPR di Kuala Lumpur secara lebih sistematik.

Beliau berkata peruntukan itu dipersetujui semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memastikan aspek penyelenggaraan perumahan awam dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penghuni.

Katanya, penyelenggaraan berkala penting bagi memastikan kemudahan asas di perumahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk didiami.

“Kalau kita hendak naik taraf semua, ia memerlukan perbelanjaan yang besar. Sebab itu kita tidak mahu melaksanakannya secara ‘ad hoc’, tetapi secara sistematik dengan peruntukan yang mencukupi untuk kerja penyelenggaraan.

“Mudah untuk kita membangunkan sesuatu projek, tetapi jika tiada peruntukan penyelenggaraan, aspek keselamatan akan terjejas. Termasuk kerja pendawaian elektrik, ia sangat penting kerana kita pernah menerima kes kebakaran di PPR sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Turun Padang ke PPR Desa Tun Razak bagi meninjau Program Penyelenggaraan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadhlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Datuk Fadhlun berkata kerja naik taraf PPR Desa Tun Razak melibatkan peruntukan RM9.6 juta dengan tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas serta aspek keselamatan penghuni.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, RM7 juta digunakan bagi kerja mengecat bangunan, manakala RM1.68 juta diperuntukkan untuk menaik taraf sistem pencegahan kebakaran dan pendawaian elektrik.

“Antara kerja yang telah disiapkan melibatkan kerja mengecat, sistem pencegahan kebakaran khususnya melibatkan sistem riser (sistem pencegahan kebakaran) yang dinaik taraf, selain kerja turapan jalan dan sistem perparitan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.