‘Menang atau tewas, terus khidmat bawa suara rakyat’ – PM

Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua calon HARAPAN, menang atau tewas, diminta terus berkhidmat dan membawa suara rakyat.
  • Kerajaan Persekutuan kekal komited memperkasakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor.
  • Beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi dan jentera parti serta menyeru utamakan khidmat dan amanah demi kemakmuran Johor.

Beliau berharap amanah yang diberikan itu dapat dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab, termasuk jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen.

“Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa serta ditambah baik.

PRN Johor kali ini menyaksikan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Harapan memenangi lapan kerusi, termasuk Puteri Wangsa menerusi kemenangan calonnya, Dr Maszlee Malik.

 

Pilihan raya itu turut menyaksikan persaingan melibatkan 172 calon, dengan BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon. Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan 33 calon, diikuti Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) empat calon, Parti Orang Asli Malaysia (POASM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing satu calon, selain enam calon Bebas.

Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), PN (tiga) manakala MUDA satu kerusi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.