Tiga jenazah mangsa tragedi motosikal selamat dikebumikan

Jenazah salah seorang mangsa kemalangan motosikal di LPT1 yang selamat dikebumikan hari ini/ RTM

DUNGUN, 11 Julai- Jenazah tiga daripada empat mangsa kemalangan motosikal di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Kuantan, Pahang awal pagi tadi selamat dikebumikan petang ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Che Sufian Che Ghani dan Muhammad Hafiz Al Hakim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka selepas solat Asar.
  • Jenazah Muhammad Safawi Md Noh disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, Kemaman kira-kira jam 6 petang.
  • Mandi dan kafan dilakukan di Masjid Cenderawasih selepas bedah siasat di Jabatan Forensik HTAA kira-kira jam 10 pagi.
  • Kemalangan di KM 246.4 LPT1 sebelum susur keluar Plaza Tol Jabor menyebabkan empat maut dan 20 cedera selepas motosikal melanggar belakang sebuah kereta.

Jenazah allahyarham Che Sufian Che Ghani, 40, dan allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka, Dungun, Terengganu selepas solat Asar.

Sementara itu, jenazah allahyarham Muhammad Safawi Md Noh, 24, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, Kemaman kira-kira pukul 6.00 petang.

Terdahulu, jenazah allahyarham Che Sufian dan allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim dimandi serta dikafankan di Masjid Cenderawasih, Kuantan selepas proses bedah siasat selesai di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira pukul 10.00 pagi.

Jenazah kedua-duanya kemudian dibawa pulang ke kampung halaman untuk disolatkan di Masjid Hadari, Bandar Paka sebelum proses pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi proses pengebumian apabila kira-kira 500 waris dan rakan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua allahyarham.

Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 5.00 petang.

Jenazah allahyarham Mohd Aizat Husni, 33, pula dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Payung, Besut, Terengganu selepas solat Isyak malam ini.

Dalam kejadian di Kilometer 246.4 LPT1 sebelum susur keluar Plaza Tol Jabor, empat mangsa maut manakala 20 lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah motosikal melanggar bahagian belakang kereta sebelum menyebabkan perlanggaran membabitkan penunggang motosikal lain.

Tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HTAA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.