
PELABUHAN KLANG, 11 Julai – Aktiviti menangkap hasil laut secara haram di perairan Kapar berjaya dipatahkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot gentian kaca bersama dua warga Indonesia, malam tadi.
- Bot dipintas kira-kira pukul 10.30 malam semasa rondaan di bawah Op Penguatkuasaan Maritim.
- Bot dikesan bergerak mencurigakan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar.
- Pemeriksaan: tekong 32 tahun dan kru 23 tahun gagal kemukakan dokumen pengenalan diri sah; tekong tiada lesen atau permit.
- Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63; bot serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan dipintas kira-kira pukul 10.30 malam ketika kapal ronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan di bawah Op Penguatkuasaan.
Menurutnya, bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar, Kapar.
Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong berusia 32 tahun bersama kru berusia 23 tahun, kedua-duanya warga Indonesia.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong turut gagal menunjukkan lesen atau permit bagi menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek bersama bot dan hasil tangkapan kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap hasil laut tanpa lesen atau kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Muhaimin berkata, rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian sumber marin serta kedaulatan perairan negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652.