
LANGKAWI, 11 Julai – Sejumlah tukun tiruan pelbagai bentuk dilabuhkan di perairan Kilim dekat sini, dalam usaha memulihara habitat marin sekali gus membantu meningkatkan sumber pendapatan komuniti nelayan setempat.
- Projek khidmat komuniti dilaksana melalui sumbangan NGO Anak Muda Madani Kedah.
- Inisiatif diambil susulan rungutan nelayan tentang hasil tangkapan yang semakin berkurangan.
- Sumbangan RM10,000 digunakan untuk tukun daripada tayar, daun kelapa dan barangan terpakai dimodifikasi sebagai habitat laut.
- Tukun membantu nelayan mendapat hasil dekat pantai, menjimatkan kos operasi dan berpotensi menyokong ekopelancongan menyelam dan memancing.
Projek khidmat komuniti tersebut dijayakan menerusi sumbangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Anak Muda Madani Kedah.
Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata inisiatif itu diambil susulan rungutan dan aduan yang diterima daripada komuniti nelayan Kampung Kilim berhubung isu hasil tangkapan ikan yang semakin berkurangan di perairan berkenaan.
“Pihak kami telah memperuntukkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi menyediakan tukun tiruan tersebut untuk diletakkan di kawasan strategik perairan ini.
“Kebanyakan tukun ini diperbuat daripada tayar kenderaan, daun kelapa serta beberapa barangan terpakai lain yang diubah suai mengikut kesesuaian bagi memastikan ia berfungsi optimum sebagai pelindung, tempat membiak dan mencari makan bagi pelbagai spesies hidupan laut,” katanya kepada RTM di sini hari ini.
Ujar beliau, kewujudan tukun tiruan itu secara tidak langsung akan memudahkan nelayan pantai zon berkenaan memperoleh hasil tangkapan berhampiran kawasan daratan tanpa perlu belayar terlalu jauh ke tengah laut, sekali gus dapat menjimatkan kos operasi harian mereka.
Selain membantu sektor perikanan domestik, struktur tukun tersebut juga berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai lokasi tumpuan baharu bagi peminat aktiviti memancing dan menyelam, sekali gus menyokong pertumbuhan industri ekopelancongan marin di pulau legenda tersebut.